Kedai Milah Janda satu-satunya kedai makan yang dibuka dari awal pagi sampai ke tengah malam. Kedai itulah yang menghidupkan panorama dan drama di sini. Roti canai dan nasi lemak menjadi menu utama di sebelah pagi manakala nasi berlauk kampung menjadi menu tengahari, pisang goreng dan kuih-muih pula time menjelang Asar dan apabila malam jadi ala-ala kedai tom yam pula kedainya itu. Di sini tempat lepaknya orang lama yang ingin bergurau senda sambil mata mereka mengusha Milah Janda yang sudah hampir dua belas menjanda tetapi masih lagi dilihat bergetah. Bagi anak muda pula Milah import gadis-gadis pattani sebagai pembantu di kedainya, maklumlah Milah Janda pun asal-usulnya dekat dengan sempadan juga, kaum kerabatnya mungkin. Kalau nenek-nenek dan ibu-ibu pula hanya bawah redupan pohon rambutan sajalah tempat mereka bergosip dan kadang-kadang terbawa hingga ke kelas-kelas pengajian tajwid di masjid.
Masjid......... Tempat inilah yang dikatakan oleh sesetengah orang kampung membawa perpecahan dalam keharmonian kampung ini. Dikatakan pula kuliah-kuliah kendalian Ustaz Sofi membawa politik dan ajaran Wahabbi kedalam masjid, yang peliknya pencari ilmu di kuliah tersebut terkadang jumlahnya, sebuah proton exora pun tidak sampai. "Nak ajaq agama ajaq la, jangan la dok mengata kat orang, ni dak sana haram sini bid'ah, sana dosa sini khurafat, abih tu kita nak buat apa?? Bila nak maju??" Terbeliak biji mata Non Keris melepaskan kata bak peluru m16. Dia ni memang terkenal dengan sifat perongos. Cuma dalam bab dunia teknologi tanpa sempadan memang menjadi kelemahan utamanya. Pernah sekali ketika mendapat duit untuk dana pilihanraya bagi pihak Parti Toya, dia terpaksa meminta Jan Botoi, anak menakannya untuk keluarkan duit dana tersebut melalui mesin ATM dengan alasan dia terlalu sibuk. "Hang tolong ambik sat duit tu kat pak lang. bukan apa pak lang sibuk sangat ni, satgi pak lang belanja tom yam campur kedai Milah apa macam ?"
Ustaz Sofi bukan orang luar, anak menakan Pak Ngah Hamzah ketua mentara kampung ni. Ibubapanya meninggal kemalangan, kata orang semasa beliau masih lagi bayi dan selepas itu beliau dipelihara sebagai anak angkat oleh seorang sahabat baik ayahnya di Kuala Lumpur, seorang muaalaf berbangsa tionghua sehingga melanjutkan pelajaran dalam bidang ilmu hadis di sebuah universiti di JORDAN. Apabila beliau pulang ketanah air dan sewaktu menziarahi Pak Ngah Hamzah yang sedang uzur, ketika itu beliau telah di pujuk oleh sesetengah penduduk kampung agar beliau sudi menetap dan menjadi imam di kampung itu yang kebetulan baru kematian Imam Lebai Brahim. Memandangkan berharap sangat orang kampung padanya dan lagi pula rumah, kebun getah dan dusun pusaka orang tuanya pun tidak berpewaris lain selain dirinya."Tak pa lah pak ngah saya dok sini, tapi dengan satu syarat." Kata Ustaz Sofi. "Awatnya! nak kena cari bini kat hang dulu ka?" Pak Ngahnya dalam nada separuh bergurau. "Aihhh.. dak, cuma saya nak minta buka kelas kuliah di masjid, bukan takat jadi imam saja." Lembut tetapi tegas suara Ustaz Sofi." Kalau macam tu aku kena bincang dulu dengan orang masjid dan puak JKKK dulu.Nanti aku habaq keputusan kat hang." Balas pak ngahnya sambil menghirup kopi panas cap Padi. Memang ada yang tidak bersetuju pada mulanya apabila mendengar permintaan Ustaz Sofi itu tapi dek kerana kesulitan yang bakal dihadapi terpaksa juga mereka bersetuju dengan syarat itu. Pada fikiran mereka kalau ada upacara keagamaan seperti kematian dan upacara tahlil arwah, itu pasti menyulitkan mereka dan pasti memalukan nama kampung ini jika semua urusan agama perlu meminta pertolongan dari kampung sebelah, di mana standard orang kampung ni ? Bagi Ustaz Sofi pula bukan itu sahaja niatnya tetapi kerana ilmu yang ditimbanya wajib dicurahkan pada setiap insan tanpa rasa-ragu dan takut kerana ia merupakan amanah ALLAH SWT kepadanya, beliau ibarat seorang doktor yang akan berusaha sedaya upayanya bagi menyelamatkan mangsa yang parah kerana ia satu kewajipan dengan ilmu yang dianugerahkan padanya.
"Hukum yang ALLAH SWT tetapkan bagi kesalahan jenayah tertentu telah dibahaskan oleh ulama. Tiada hukum lain yang sesuai dengan fitrah manusia melainkan yang saya sebut tadi terutamanya HUDUD, QISAS dan TAKZIR dan kesepakatan ulama atau IJMA'. Kalau ada orang kampung yang menolak hukum yang ALLAH SWT tetapkan ini dengan mulutnya ka?? perbuatannya ka?? bahkan hatinya sekalipun hukumnya sama macam dia kata solat tu sebenarnya tak wajib, puasa Ramadan tu Islam khaskan untuk diet saja, tunaikan haji ini lebih kurang macam pergi melancong ke London saja sifatnya, maka depa sama la macam Ayah Pin !!!" Berdegar-degar suara Ustaz Sofi ketika menghuraikan salah satu ayat dari Surah Al Ma'idah di hadapan jemaah masjid malam itu yang agak ramai, mungkin disebabkan kenduri nasi tomato yang dijamu oleh Usop Laksa mungkin. Wallahhualam.....
Seperti yang dijangka, malam itu juga berdegar-degar juga suara Non Keris dari dalam kedai Milah Janda."Nak potong tangan konon, sapa berani nak potong tangan orang ni. Kalau betui nak buat macam tu habih la Milah ni dok kena suap hampa makan, pasai tangan tak dak." Berderai ketawa geng-geng mat rempit dengan lawak bodohnya itu."Tu, kuari batu tu tak boleh nak buat bisnes dah pasai batu semua orang dok kutip nak pi ghejam budak-budak rempit ni, pasai depa ni la yang selalu dok buat kenduri budak-budak minah rempit kampung sebelah tu." Sambil tangannya ditunjukkan ke arah bukit kuari dan sekali lagi berderai ketawa. Milah Janda tersenyum di sebalik daun pintu mendengar kuliah raja lawak itu, geng-geng tua pula menganguk-anguk macam lembu lintas jalan saja gayanya. Belum pun sempat Non Keris menyambung kuliah sesatnya itu, Jan Botoi anak menakannya meluru kedalam kedai itu bagai dikejar bapa jin saja lakunya." Rumah Pak Lang Non kawaq masuk habih duit, barang emas mak lang yang berkilo-kilo tu dia tibai, motor LC135 baru pak lang tu pun dia sebat juga. Jom balik cepat mak lang dok teriak berguling-guling dah di rumah nuuu !!!!" Macam bunyi mesin ais kacang pun ada suara Jan Botoi ini. " Hah !!!!! Haramjadah punya kawaq kalau dapat aku cincang tiga puluh badan dia !! Barua punya orang susah-susah aku simpan duit nak beli motor LC135 tu senang ja dia rembat !!! Nanti kalau aku tau sapa dia, aku sula besi panas kot juboq sampai keluaq kot mulut, baru dia tau langit tu tinggi ka rendah." Terhambur segala makian dari Non Keris sambil berlari macam juara acara pecut seratus meter saja lagaknya. Jemaah kuliah sesatnya tadi jadi terpinga-pinga dengan seranah Non Keris itu. Emmm... Dalam undang-undang Islam, pencuri lelaki dan wanita itu dipotong tangannya sahaja, itupun perlu melalui pelbagai proses perbicaraan dan pembuktian yang mengikut syariah terlebih dahulu tetapi tidak sampai disula dan dikerat tiga puluh. Dari undang-undang mana agaknya ??? Mungkin ini yang dikatakan fitrah manusia........... Bersambung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
.. DARI KURNIAMULAH KAMI BERAKAL DAN MAHA SUCI ENGKAULAH,TUHAN YANG MAHA MENGETAHUI SETIAP ISI HATI MAKHLUKNYA...