"Dah seminggu aku tak nampak Non ni, tak kan demam tak kebah-kebah lagi ?" Keluh Pak Leh Kati." Tak tau la Abang Leh oi... start malam tu, dia tak mai lagi la kedai Milah ni." Sambung Milah Janda. Sebenarnya Pak Leh Kati tidak pedulipun, cuma kalau ada Non Keris yang agak pemurah itu makan minumnya di sini sudah pasti percuma.Tapi ada baiknya juga Non Keris terperosok di rumah, tumpuan Milah Janda pun lebih sikit padanya jika tidak hanya Non Keris saja yang dilayan oleh Milah Janda. "Dengaq kata dekat lima belas ribu juga barang emas bini dia yang kawaq tu rembat. Tu tak kira motor baru dia lagi. Dia satu pun bangkai jugak, motor baru tapi insuran yang dia pi beli 3rd party sapa suruh? " Pak Leh Kati berpura-pura bengang. "Jan Botoi kata Abang Non dok cari tok bomoh yang boleh bagi pecah perut kawaq tu. Dia kata lagi kalau takat lima enam ratus dia tak kisah." Milah Janda menambah. "Kenapa la Non ni tak tanya aku dulu, kan pasai bomoh-bomoh ni bukan dia tak tahu, aku ni kan boleh dikira pelanggan setia bomoh." Bisik hati Pak Leh Kati.
"Pak Leh, hang ni kalau bomoh nombor ekoq hang tau la, tapi ni bomoh barang hilang tak sama." Rungut Non Keris kepada Pak Leh Kati yang bertandang ke rumahnya malam itu."Tapi yang aku nak bawak hang pi ni power gila punya bomoh bukan takat kawaq, silap-silap hantu pun takut kat dia." Macam salesman jual produk ubat kuat saja gayanya Pak Leh Kati mempromosi bomoh yang dimaksudkannya itu.Mungkin benar juga cakapnya itu, aku pun ada terdengar cerita tentang bomoh dari orang Kampung Seberang itu, Tok Kuning kalau tidak silap namanya. Dari cerita orang dia memang berkebolehan mengubati banyak penyakit, dari terseliuh kaki hingga ke sakit jantung tahap tiga dan juga dari disengat tebuan sampai ke santau orang pendek kata doktor pakar di hospital pun kalah dengan ilmunya. "OK,geram punya pasai kita pi." Non Keris memberikan persetujuannya. Pernah juga sekali ada seorang Datuk yang ingin bertanding jawatan ketua bahagian dan selepas Tok Kuning mandramkannya akhirnya beliau menang tanpa bertanding disebabkan lawannya tiba-tiba diserang cirit-birit sewaktu mesyuarat pemilihan tersebut diadakan.
Pagi Jumaat itu Ustaz Sofi mencemar duli singgah ke kedai Milah Janda bersarapan bersama beberapa orang jemaah masjid sesudah selesai menyampaikan kuliah subuh pagi itu. Selesai bersarapan beliau lantas bangun dan berkata. "Assalamualaikum, saya berhasrat nak buat kursus pengurusan jenazah dan bagi sesiapa yang berminat terutama anak-anak muda boleh lah mai masjid pagi Ahad ni dalam pukul sepuluh pagi dan saya minta tuan-tuan yang ada ni tolong sampaikan pada orang yang beminat tapi tiada di sini, itu saja terima kasih." Memang terserlah ketokohan anak muda ini. Ada orang kampung yang mula menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya tanda sudah terpancar rasa hormat pada susuk beliau. Bukannya mereka mengabaikan bersolat,meninggalkan puasa, culas untuk membayar zakat, tidak menyimpan niat untuk menunaikan haji dan sebagainya selama ini tetapi amalan mereka selama ini hanya ikut-ikutan bukan dengan pengetahuan ilmu agama yang sebenar, jika ada majlis ilmu pun ia hanyalah kelas tajwid dan khutbah Jumaat di masjd. Bahkan khutbah Jumaat kampung ini dulu menjadi seakan-akan pesta tidur besar-besaran. Arwah Lebai Brahim yang di mamah usia itulah yang terpaksa membaca khutbah dengan teks yang disediakan Majlis Agama sampai kadang-kadang beliau sendiri pun tak tahu apa isi khutbah itu. Kenduri kendara masih mengamalkan sesetengah khurafat yang dianggapSunnah. Itulah harapan ustaz muda ini iatu ingin mencurah ilmu yang dipelajarinya dari Al-Quran dan sunnah kepada penduduk kampung agar mereka dapat mengenal yang mana batil dan yang mana hak dalam hidup ini.
Ramai sungguh anak muda pagi itu. Mat rempit, rappers, rockers dan yang macam gaya Chef Wan pun ada. Alhamdulillah sesungguhnya ramai anak muda yang dahagakan ilmu cuma sistem tarbiah perlu dikemas kini agar mengikut peredaran zaman. Program dimulakan dengan penerangan dan amali secara bersahaja oleh Ustaz Sofi hinggakan kadang-kadang terdengar deraian ketawa memecah kesunyian perkarangan masjid yang selalunya sunyi itu dek kerana telatah mayat-mayat hidup itu ketika dimandi dan dikafankan. "Ustaz, buat la program lain pulak lepas ni, bakaq ikan ka, berkhemah di masjid ka." Terdengar cadangan dari anak muda selepas program itu berakhir selepas Zohor. " InsyaAllah, kalau semua member kita boleh bagi sokongan macam ni selalu gua tak hal, bro ! " Ujar Ustaz Sofi dalam dialek anak muda sekarang.
Pak Leh Kati memicit kepala botaknya itu. "Tang mana pulak dia dok ni. Tak salah aku bubuh bawah almari ni. Benda ni kalau tak dak Tok Kuning tak mau buat, mesti Non Keris marah punya pasai buang masa dia. Melepas la komisen aku yang Tok Kuning dah janji nak bagi." Dia menggumam sendirian. Dia teringat pesan Tok Kuning yang hanya mahukan kain kafan yang sudah terpakai untuk mandramnya. "Ecah !!!! hang nampak sapa-sapa masuk bilik ni dak pagi ni." Teriaknya pada Mak Esah isterinya di dapur. Tergesa-gesa Mak Esah datang dan menjawab. "Awatnya, pagi tadi Mail ada tanya kat Ecah kot-kot kita ada kain lama yang boleh dia buat kain kapan untuk kursus urus jenazah yang Ustaz Sofi buat hari ni. Cah kata kat dia hang pi ambik la kain putih yang tok wan hang simpan bawah almari tu, awat abang cari kain tu ka? Mail la yang ambik kot." Sambung Mak Esah lagi. "Apa !!!!!!!! " Jerit Pak Leh sambil terduduk dipenjuru katil. Sebenarnya kain kapan itu digunakan untuk mengkafankan Arwah Lebai Brahim , dia mencurinya pada malam selepas arwah dikebumikan kerana menurut Tok Kuning kain kapan tok imam banyak khasiat kegunaannya. Di rumah, Non Keris telah bersiap sedia menunggu Pak Leh. " Kalau betul la Tok Kuning ni hebat, lepas ni aku ada projek besaq punya kat dia." Sambil ketawa dalam hati........Bersambung.
